Sunday, 15 July 2012

               FUNGSI GURINDAM

     
Berdasarkan isinya, gurindam dapatlah dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk tujuan pendidikan dan hiburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta daya intelektual masyarakat Melayu lama dalam menangani hal kehidupan mereka. Gurindam juga dapat dijadikan media komunikasi antara ahli masyarakat, terutama dalam majlis-majlis yang formal.

GURINDAM

                 DEFINISI GURINDAM

Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun berasal daripada bahasa asing, tetapi dalam perkembangan puisi Melayu, gurindam yang berkembang dalam tradisi lisan Melayu mempunyai bentuknya yang tersendiri dan kelainan dengan gurindam dalam bahasa Sanskrit. Menurut Raja Ali Haji, “…adapun gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab” (Sutan Takdir Alisjahbana, 1954)

            Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Raja Ali Haji, Sutan Takdir Alisjahbana (1954) menjelaskan pembentukan gurindam yang biasanya terjadi daripada sebuah kalimat majmuk, yang dibahagi menjadi dua baris yang bersajak. Tiap-tiap baris itu ialah sebuah kalimat, dan perhubungan antara dua buah kalimat itu biasanya ialah perhubungan antara anak kalimat dengan induk kalimat. Jumlah suku kata tiap-tiap baris itu tidak ditentukan. Demikian juga rimanya tiada tetap.
        Sebelum itu, dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal III (1957), Za’ba pernah mengatakan bahawa, “gurindam dan seloka lebih kurang sama, iaitu satu jenis syair meleret yang tidak teratur, berangkap-rangkap dan tiada tetap sukatnya, timbangannya dan sajaknya. Maka, jika ada pun perbezaanya antara dua itu ialah pada keadaan isinya dan bahasanya sahaja iaitu:

i )        Gurindam bahasanya selalu padat dan bernas, dan isinya lebih cenderung kepada riang dan sukacita sebagai nyanyian, jenaka, senda gurau, kelakar, dan sindiran giat yang bermain-main dan menggeli-gelikan hati. Yang demikian menunjukkan ada kesempatan boleh melengah-lengahkan masa dan menyuka-nyukakan hati.

ii )        Seloka bahasanya kerap kali meleret dan lanjut, dan sindir giatnya selalu tajam dan bias seperti mengejek, dan selain daripada itu boleh juga isinya mengandungi perasaan-perasaan hiba-rawan, sedih-sayu, asyik-berahi, khayal, mimpi dan angan-angan. Yang demikian menunjukkan ada kesempatan pula boleh melengah-lengahkan masa dengan perkara-perkara seperti itu.
        Harun Mat Piah (1989), kemudiannya menjelaskan lagi definisi gurindam berdasarkan bentuknya, iaitu sejenis puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris serangkap dan mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris dengan rimanya a, a. Biasanya beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapkan satu keseluruhan idea.

Sunday, 1 July 2012

               CONTOH SELOKA

     Ayuhai malang Pak Kaduk,
     Ayamnya menang kampung tergadai,
     
Ada nasi dicurahkan,
     Awang pulang kebuluran,
     Ada isteri di bunuh,
     Nyaris mati oleh tak makan,
     Mudik menongkah surut,
     Hilir menongkah pasang,
     Masa belayar kematian angin,
     Sauh dilabuh bayu berpuput,
     Ada rumah bertandang duduk,
     Rumah runtuh awak menumpang
               FUNGSI & JENIS SELOKA

   

       Fungsi seloka amat terbatas, secara umumnya seloka dapat menggambarkan masyarakat yang melahirkannya, iaitu masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan ketatasusilaan.Bersesuaian dengan sifat halus orang melayu. Puisi seloka digunakan secara meluas sebagaimana peribahasa atau teromba.

       Fungsinya amat bergantung kepada isinya iaitu untuk menyindir, mengejak, menempelak seseorang, melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia, memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang dan sebagai alat kawalan sosial atau protes sosial.

     

         JENIS SELOKA 
 
   -Seloka mengejek
   -Seloka khayal
   -Seloka melarat
   -Seloka gurau senda
               CIRI-CIRI SELOKA

    >> Satu bait seloka terdiri daripada 4 baris atau lebih.
   >> Memiliki lebih dari satu bait.
    >> Seloka pula disusun secara berangkap.Namun setiap rangkap tidak tetap,jadi rima akhir adalah bebas.isi seloka biasanya bersifat menyindir atau mengejek seperti seloka Pak kaduk.
     >> Berasal daripada perkataan sanskrit bermaksud karangan berangkap yang melarat.
     >> Tidak tetap bilangan baris dan iramanya.
     >> Isinya lebih kepada mesej-mesej lucu,jenaka,ejekan,gurauan atau sindiran yang tajam.
     >> Sebuah seloka mempunyai kesatuan isi atau idea yang lengkap

SELOKA

               DEFINISI SELOKA

      Seloka ialah puisi tradisional melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap. Jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau pun tidak. Antara ciri seloka adalah mengejek, menyindir, secara serius atau jenaka mahupun mengkritik tingkah laku dan sifat negatif seseorang ataupun kelompok masyarakat.
     

         Menurut kamus dewan edisi ke-4, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Kata seloka berasal dari bahasa sanskrit iaitu 'sloka'. Seloka biasanya ditulis dua atau empat baris dan terkadang seloka juga ditulis lebih dari empat baris.
               CONTOH  SYAIR

    
  
    Dengarkan tuan ayahanda berperi,
    Kepada anakanda muda bestari,
    Jika benar kepada diri,
    Nasihat kebajikan ayahanda beri.


    Ayuhai anakanda muda remaja,
    Jika anakanda mengerjakan raja,
    Hati yang betul hendaklah disahaja,
    Serta rajin pada bekerja.


    Seperti air di dalam gelas.
    Menjalankan kerja janganlah malas,
    Zahir dan batin janganlah culas,
    Jernihkan hati hendaklah ikhlas,


    Jika anakanda jadi besar,
    Tutur dan kata janganlah kasar,
    Janganlah seperti orang sasar,
    Banyak orang menaruh gusar.


    Tutur yang manis anakanda tuturkan,
    Perangai yang lembut anakanda lakukan,
    Hati yang sabar anakanda tetapkan,
    Perasaan orang anakanda fikirkan.


    Kesukaan orang anakanda cari,
    Supaya hatinya jangan lari,
    Masyhurlah anakanda dalam negeri,
    Sebab kelakuan bijak bestari.


    Nasihat ayahanda anakanda fikirkan,
    Keliru syaitan anakanda jagakan,
    Orang berakal anakanda hampirkan,
    Orang jahat anakanda jauhkan.


    Setengah orang fikir keliru,
    Tidak mengikut pelajaran guru,
    Tutur dan kata haru biru,
    Kelakuan seperti anjing pemburu.


    Tingkah dan laku tidak kelulu,
    Perkataan kasar keluar selalu,
    Tidak memikirkan orang empunya malu,
    Bencilah orang hilir dan hulu.


    Itulah orang akalnya kurang,
    Menyangka dirinya pandai seorang,
    Takbur tidak membilang orang,
    Dengan manusia selalu berperang